Senin, 01 Desember 2008


Umat Islam Akan Berpecah Menjadi 73 Kumpulan.

Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah.[1]

Kemusykilan:

Apakah maksud sebenar hadis ini ? Ia seolah-olah meramalkan bahawa banyak umat Islam yang akhirnya akan masuk neraka. Bagaimanakah kita hendak meletakkan diri kita dalam kumpulan al-Jamaah ?


Sabda baginda: … dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan)… bukanlah merupakan satu ramalan yang menetapkan tetapi adalah satu peringatan kepada apa yang mungkin akan terjadi. 

Jumlah 73 yang baginda sebut mengisyaratkan kepada jumlah yang banyak sebagaimana kebiasaan penggunaan angka 7 atau 70 oleh masyarakat Arab untuk mengisyaratkan sesuatu yang besar jumlahnya. Ini seperti yang telah diterangkan ketika menjelaskan hadis orang kafir ada tujuh usus. Angka 2 dan 3 bagi jumlah 72 dan 73 pula mengisyaratkan bahawa umat Islam berkemungkinan akan berpecah menjadi kumpulan-kumpulan yang lebih banyak jumlahnya daripada perpecahan Ahli Kitab.

Kumpulan-kumpulan ini hanya al-Jamaah yang akan masuk syurga. Apa dan siapakah al-Jamaah ?

Dari sudut bahasa al-Jamaah adalah persatuan di mana lawannya adalah perpecahan. Dari sudut istilah, al-Jamaah adalah persatuan umat Islam di atas kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan perpecahan,  sesama umat sama ada dalam bentuk yang kecil atau besar.

Justeru Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyampaikan hadis di atas dalam rangka memberi amaran keras kepada umatnya untuk tidak berpecah-belah menjadi kumpulan dan kelompok yang saling berselisih antara satu sama lain. Hendaklah umat Islam semuanya bersatu sebagai satu jamaah. 

Amaran Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis ini adalah selari dengan ayat al-Qur'an berikut ini:

Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

Kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)" [Hud 11:118-119]

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tabiat manusia yang suka berpecah-belah dan ini termasuklah umat Islam sendiri. Semuanya akan memenuhi neraka kecuali mereka yang bersatu atas kebenaran, iaitu jamaah umat Islam.



Sikap berjamaah yang menjauhi perpecahan juga sangat ditekankan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis-hadis baginda. Antaranya:

Sesungguhnya orang yang memisahkan dirinya daripada jamaah sekalipun dengan jarak sehasta lalu dia mati, maka matinya adalah dalam keadaan jahiliyah.[2]

Tiga orang, jangan engkau bertanya tentang mereka: (1) seseorang yang memisahkan dirinya dari komunitas dan menderhakai imamnya dan mati dalam keadaan menderhaka, (2) Seorang budak perempuan atau budak lelaki yang melarikan diri dari tuannya lalu dia (budak tersebut) mati dan (3) seorang isteri yang suaminya pergi lalu ditinggalkan bekalan (nafkah) duniawi yang mencukupi namun kemudian dia (si-isteri) mengkhianati (suaminya).[3]

Sabda Rasulullah: Tiga orang, jangan engkau bertanya tentang mereka bermaksud tiga orang yang akan menghadapi kemusnahan di Hari Akhirat nanti.[4]

Berjamaah adalah rahmat dan berpecah adalah azab.[5]

Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpun umatku (atau umat Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam) atas kesesatan. Dan tangan Allah atas al-Jamaah dan sesiapa yang mengasingkan diri, maka dia mengasing ke neraka.[6]

Wahai manusia, berjamaahlah kalian dan janganlah kalian berpecah-belah. Sesiapa yang hendak tempat di tengah-tengah syurga maka hendaklah dia selalu berjamaah.[7]



[1] Hasan: Hadis daripada sejumlah sahabat dengan lafaz yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang sama, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah salah satu dari lafaz Abu Daud, lihat Sunan Abu Daud – no: 4429 (Awal kitab al-Sunnah). Hadis-hadis ini memiliki jalan periwayatan yang banyak, sebahagiannya sahih, sebahagiannya hasan dan sebahagian lain dha'if, lihat semakan dan penilaiannya oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Silsilah Hadits Shahih – no: 203.

[2] Sahih: Sebahagian hadis daripada 'Abdullah ibn Abbas radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Darimi dan lain-lain, di atas adalah dengan lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 1849 (Kitab al-Imarah, Bab kewajipan bersatu dengan jamaah.....).

[3] Sahih: Sebahagian hadis daripada Fadhalah bin 'Ubaid radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari (Adab al-Mufrad), Ibn Hibban, al-Hakim dan lain-lain, di atas dengan lafaz Ibn Hibban dan ia disahihkan oleh Syu'aib al-Arna'uth dalam Sahih Ibn Hibban – no: 4559 (Kitab al-Siyar, Bab Taat kepada pemimpin).

[4] al-Munawi dalam Faidh al-Qadir Syarah al-Jamii' al-Sagheir (Maktabah Tijarah al-Kubra, Mesir 1356H), jld 3, ms 324.

[5] Hasan: Sebahagian hadis daripada Nu'man bin Basyir radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Abi 'Ashim, al-Bazzar, Ibn Abi Dunya, al-Qudho'i dan al-Baihaqi (Syu'abu al-Iman), dinukil oleh al-Munziri dalam al-Targib wa al-Tarhib dan dinilai hasan oleh para penyemaknya: Muhyiddin Dibb Mastu, Samir Ahmad 'Atha & Yusuf 'Ali Badiwi.

[6] Hasan: Hadis daripada 'Abdulullah ibn 'Umar radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan di dalam isnadnya terdapat kelemahan. Namun bahagian awal hadis ini memiliki beberapa penguat dari sudut sanad dan matan sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, demikian penilaian Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 2167 (Kitab al-Fitan, Bab Keperluan kepada al-Jamaah). Bahagian akhir hadis: dan sesiapa yang mengasingkan diri, maka dia mengasing ke neraka tidak memiliki penguat dari sudut sanad tetapi memiliki kebenaran dari sudut matan sebagaimana disokongi oleh beberapa hadis dalam bab ini yang telah dikemukakan di atas. Oleh itu al-Suyuti menilai keseluruhan hadis ini sebagai hasan, lihat al-Jamii' al-Sagheir – no: 1818.

[7] Sahih: Hadis daripada 'Umar bin al-Khattab radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh Ibn Abi 'Ashim dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Kitab al-Sunnah – no: 897.

[8] Sahih: Hadis daripada Arfajah bin Syuraihin radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Abi Syaibah, Abu Daud, al-Nasa'i (al-Sunan & al-Kubra), Ibn Hibban, al-Hakim dan lain-lain, di atas dengan lafaz Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arna'uth dalam Sahih Ibn Hibban – no: 4577 (Kitab al-Siyar, Bab Taat kepada pemimpin), demikian juga oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii' al-Sagheir – no: 3621. Juga dikeluarkan secara ringkas oleh Muslim dalam kitab Sahihnya, no: 1852.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn 'Asakir dalam Tarikh Damshq (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld 46, ms 409 dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani sepertimana jelas beliau dalam notakaki Misykat al-Masabih (Maktabah al-Islami, Beirut 1985), jld 1, ms 61. Juga dinukil oleh al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal (Muasasah al-Risalah, Beirut 1980), jld 22, ms 264.

Tidak ada komentar: